PENYAKIT LORENG, PANGKAT DAN PINGAT
Ada satu penyakit pelik yang melanda sesetengah pemimpin organisasi. Mereka terlalu ghairah menukar pakaian seragam, terutama yang bercorak celoreng. Belum sempat pakaian lama lusuh, bos baharu datang, reka bentuk pun berubah.
Pakaian celoreng tentera mempunyai tujuan tertentu, iaitu menyukarkan musuh mengesan anggota ketika operasi. Tetapi apabila semua orang mahu berloreng, kita tertanya-tanya, dalam keadaan bagaimana mereka mahu bersembunyi. Waktu itu akan menggunakan senjata api atau batang penyapu?
Lebih menghairankan apabila anggota bomba turut memakai pakaian bercorak menyerupai api. Kalau berlaku kebakaran, adakaah mereka akan menyorok di celah api agar susah untuk kita mengesan mereka? Masa kecik-kecik dulu kita dah puas main sorok-sorok. Tak gitu?
Belum cukup dengan loreng, ada pula yang gemar memakai pangkat seperti jeneral dan pingat memenuhi dada. Mujurlah mereka tidak teringin berpakaian seperti koboi, sebagaimana saya ketika kecil dahulu!
Malangnya, ada kaki kipas yang sentiasa memuji. Apa sahaja idea bos, semuanya hebat!
Hakikatnya, kewibawaan bukan terletak pada loreng, pangkat atau pingat. Disiplin tidak datang bersama pakaian, dan kepimpinan tidak boleh dijahit pada bahu.
Kalau prestasi masih sama, tukarlah uniform seratus kali sekalipun, yang berubah cuma pakaian, bukan kemampuan.
Saya rasa malu tenguk orang yang berpakaian seragam tetapi tak ubah seperti askar-askar yg comot seperti dalam movie. Perutnya buncit, misai tidak terurus, rambut pulak panjang, dan jalan bersepah-sepah.
Yg peliknya; fenomena ini berlaku di Malaya saja.