ZIARAH ORANG SAKIT
Antara Keikhlasan, Tanggungjawab dan Publisiti
SOALAN CEPU EMAS!
Mengapa amalan menziarahi orang sakit kadangkala kelihatan seperti aktiviti bermusim? Mengapa kita begitu rajin menziarah apabila tiba bulan Ramadan, menjelang Hari Raya, sempena hari ulang tahun sesuatu organisasi atau apabila ada program tertentu?
Mengapa tidak kita jadikan ziarah sebagai amalan berterusan, sama ada secara individu mahupun berkumpulan, tanpa perlu menunggu sesuatu majlis atau arahan?
Bagi mereka yang bergelar pemimpin pula, mengapa tidak menjadikan ziarah sebagai salah satu keutamaan apabila berkunjung ke sesuatu kawasan? Tidak semestinya perlu ada program rasmi, rombongan besar atau sambutan khas.
Saya teringat pengalaman ketika pernah bekerja dengan Yayasan Al-Bukhary. Apabila Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berkunjung ke Kedah, khususnya Alor Setar atas urusan rasmi, antara keutamaan beliau ialah menziarahi ibunda tercinta. Bagi saya, itulah satu contoh bagaimana tanggungjawab dan kasih sayang boleh dijadikan keutamaan walaupun seseorang itu mempunyai pelbagai urusan penting.
ZIARAH BUKAN ACARA BERMUSIM
Terus terang saya katakan, ada sesuatu yang kurang menyenangkan apabila amalan menziarahi orang sakit terlalu dikaitkan dengan musim perayaan, program kebajikan atau majlis rasmi.
Lebih menghairankan, sesetengah ziarah seolah-olah mesti dilakukan oleh pemimpin bersama rombongan pengiringnya.
Tidak bolehkah kita pergi secara sederhana, tanpa hebahan dan tanpa sesiapa mengetahui?
Ziarah oleh pemimpin itu TIDAK salah. Bahkan, kehadiran mereka boleh memberikan semangat dan menunjukkan keprihatinan organisasi. Cuma, janganlah sampai amalan yang mulia ini kelihatan seperti satu acara yang mesti dipamerkan kepada orang ramai.
PERLUKAH BERGAMBAR DENGAN ORANG SAKIT?
Ini satu lagi perkara yang sering mengganggu fikiran saya.
Bayangkan sahabat kita sedang terlantar sakit. Tubuhnya semakin kurus, rambut dan janggut tidak terurus, mungkin tidak berbaju, bertuala atau sedang menanggung kesakitan yang amat berat. Ada pula yang sedang nazak.
Dalam keadaan sedemikian, mengapa kita masih mahu bergambar bersamanya, kemudian memuat naik gambar tersebut ke media sosial?
Apakah tujuannya? Untuk berkongsi berita tentang keadaan sahabat kita, atau untuk menunjukkan bahawa kita telah datang menziarah?
Maafkan saya. Saya bukan ustaz dan tidak layak menghukum niat sesiapa. Mungkin niat mereka benar-benar ikhlas. Namun, pada pandangan saya, kita perlu lebih berhati-hati agar amalan yang baik tidak dicemari oleh keinginan untuk mendapatkan perhatian atau pengiktirafan.
Orang sakit juga mempunyai maruah, perasaan dan hak terhadap privasinya.
Jika benar-benar perlu mengambil gambar, dapatkanlah keizinan pesakit atau keluarganya. Malah, lebih baik sekiranya gambar diambil di hadapan rumah bersama mereka yang bersetuju, tanpa mendedahkan keadaan pesakit.
ZIARAH YANG SEDERHANA TETAPI BERMAKNA
Bagi ziarah rasmi oleh pemimpin, memadailah beliau hadir bersama dua atau tiga orang pengiring sahaja. Tidak perlu rombongan besar sehingga menyusahkan keluarga yang sedang menjaga pesakit.
Lebih penting, bantuan yang diberikan janganlah bersifat sekali sahaja.
Sekiranya pesakit dan keluarganya benar-benar memerlukan bantuan kewangan, makanan atau keperluan harian, usahakanlah bantuan secara bulanan mengikut kemampuan organisasi.
Begitu juga dengan lawatan susulan. Tidak semestinya pemimpin utama perlu hadir setiap kali. Wakil yang dipertanggungjawabkan boleh membuat kunjungan secara berkala bagi mengetahui perkembangan pesakit dan keperluan keluarganya.
Kebajikan yang sebenar bukan sekadar hadir, menyerahkan sumbangan dan kemudian pulang. Kebajikan ialah kesediaan untuk terus mengambil tahu.
APA SEBENARNYA TUJUAN KITA MENZIARAH?
Tujuan menziarahi orang sakit bergantung juga pada hubungan kita dengan pesakit. Jika yang sakit itu sahabat karib, saudara-mara atau seseorang yang amat kita kenali, kehadiran kita membawa makna yang lebih peribadi. Kita datang untuk bertanya khabar, memberikan semangat, meringankan kesedihan dan mendoakan kesejahteraannya.
Tidak perlu doa yang panjang atau menggunakan bahasa Arab sekiranya kita tidak mampu. Berdoalah dalam bahasa Melayu, dengan penuh keikhlasan.
Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada saudara kami ini untuk terus mengingati dan berzikir kepada-Mu.
Ya Allah, kurniakanlah kesembuhan kepadanya, ringankanlah segala kesakitan yang sedang ditanggungnya.
Ya Allah, berikanlah kesabaran dan ketabahan kepada isteri, anak-anak serta seluruh ahli keluarganya.
Ya Allah, permudahkanlah segala urusan keluarga ini, lapangkanlah rezeki mereka dan janganlah Engkau biarkan mereka menghadapi ujian ini tanpa pertolongan-Mu.
Jika sahabat kita sedang dirawat di hospital, jangan lupa mendoakan mereka yang menjaganya.
Ya Allah, rahmatilah para doktor, jururawat dan seluruh kakitangan hospital ini. Berikanlah mereka kekuatan, kesabaran dan keikhlasan dalam melaksanakan amanah menjaga orang yang sedang sakit.
BAGAIMANA JIKA INI PERTEMUAN TERAKHIR KITA?
Ada satu perkara yang amat dekat dengan hati saya.
Apabila menziarahi sahabat yang sedang sakit tenat, dan sekiranya keadaannya mengizinkan, dekatilah beliau dengan penuh kasih sayang.
Pegang tangannya jika sesuai. Bercakaplah dengan lembut. Tidak perlu orang lain mendengar.
Katakanlah sesuatu yang lahir daripada hati seorang sahabat.
Sahabatku, jika ini pertemuan terakhir kita, aku berdoa semoga Allah menerima segala taubat dan amal ibadah hang.
Aku juga memohon maaf atas segala salah dan silap aku sepanjang persahabatan kita. Aku halalkan segala-galanya dan aku mohon hang halalkan juga segala kekurangan aku.
Aku tetap berdoa semoga Allah menyembuhkan penyakit hang dan memberikan kita peluang untuk bertemu lagi dalam keadaan yang lebih baik.
Tidak perlu ucapan panjang. Tidak perlu kamera. Tidak perlu orang ramai.
Cukuplah dua orang sahabat yang saling mendoakan dan saling memaafkan.
Namun, kita juga perlu menjaga emosi pesakit. Jangan sampai kata-kata kita membuatkan beliau berasa seolah-olah sudah tiada harapan untuk sembuh.
ZIARAH ITU IBADAH, BUKAN PERTUNJUKAN
Dalam Islam, menziarahi orang sakit merupakan amalan yang sangat dituntut.
Antara kelebihannya disebut dalam hadis riwayat al-Tirmizi bahawa orang Islam yang menziarahi saudaranya yang sakit pada waktu pagi akan didoakan oleh 70,000 malaikat sehingga petang. Jika ziarah dilakukan pada waktu petang, para malaikat mendoakannya sehingga pagi. Haaa jangan buat lawak pulak untuk ziarah waktu pagi atau petang saja... bila-bila pun boleh asal sesuai. Begitu juga ada orang terikat untuk letak duit di tabung masjid pada waktu Subuh jer....
Betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan untuk amalan yang kelihatan begitu sederhana.
Namun, ganjaran yang besar itu sepatutnya mengingatkan kita tentang kepentingan keikhlasan dan adab ketika menziarah.
PENUTUP
Saya menulis perkara ini bukan untuk memperkecilkan usaha mana-mana pemimpin, pertubuhan atau individu yang rajin menziarahi orang sakit. Setiap usaha kebajikan wajar dihargai.
Cuma, saya berharap kita dapat memperbaiki pendekatan.
Jangan tunggu Ramadan untuk menziarah. Jangan tunggu Hari Raya untuk menghulurkan bantuan. Jangan tunggu program rasmi untuk bertanya khabar. Dan jangan jadikan gambar sebagai bukti utama bahawa kita telah melaksanakan tanggungjawab.
Kadangkala, kehadiran seorang sahabat secara diam-diam, membawa sedikit buah tangan, duduk beberapa minit, mendoakan kesembuhan dan bertanya tentang keperluan keluarga jauh lebih bermakna daripada rombongan besar yang datang bersama kamera.
Akhirnya, orang sakit tidak semestinya mengingati siapa yang datang bergambar dengannya. Tetapi mungkin dia akan sentiasa mengingati siapa yang datang ketika dia benar-benar memerlukan seorang sahabat.
Wallahu a'lam.
Semoga Allah ampunkan aku juga... امين يارب العا لمين