Jangan Cuak Dulu Bila Baca Tentang RPEL
Ayat-ayat di bawah ini mungkin nampak agak berat.
Sekali baca, ada yang mungkin terus rasa, “Aduh... susahnya nak buat RPEL.”
Sebenarnya tidaklah sesukar yang disangka.
Cuma bahagian ini lebih sesuai dibaca selepas tuan puan memahami penerangan asas terlebih dahulu. Kalau baru hendak bermula, elok baca bab-bab awal dahulu. Selepas itu, barulah kembali ke bahagian ini.
Pertama: Pengetahuan Tuan Puan Akan Dinilai
Perkara pertama yang ingin dilihat ialah tahap pengetahuan tuan puan dalam bidang yang dinilai.
Jangan terlalu risau.
Biasanya Pegawai Penilai akan membantu menyediakan nota, bahan rujukan atau sumber pembelajaran yang berkaitan. Tuan puan boleh membaca bahan tersebut dan bertanya tentang perkara yang masih kurang jelas.
Kalau ada bahan dalam bahasa Inggeris, gunakanlah kemudahan seperti Google Translate atau aplikasi terjemahan yang lain.
Yang penting, jangan segan bertanya.
Lebih baik bertanya sebelum dinilai daripada hanya mengangguk tetapi sebenarnya masih tidak faham.
Kedua: Amali Sahaja Belum Mencukupi
Semasa membuat amali, kebanyakan calon boleh melaksanakan tugas dengan baik.
Cabaran biasanya timbul apabila Pegawai Penilai Luaran atau PPL mula bertanya.
Kadang-kadang calon tahu melakukan sesuatu kerja, tetapi sukar menerangkan mengapa langkah itu perlu dibuat.
Di sinilah pengetahuan menjadi penting.
Kalau soalan yang disediakan oleh pusat bertauliah belum mencukupi untuk memenuhi standard, PPL boleh bertanya soalan tambahan yang munasabah dan bersesuaian dengan tahap diploma.
Soalan itu sepatutnya berkaitan dengan NOSS dan tugas yang dinilai. Bukan soalan yang tidak ada kaitan langsung.
Walaupun NOSS banyak memberi tumpuan kepada kerja amali, PPL juga boleh bertanya teori yang berkaitan dengan amali tersebut.
Contohnya, sebelum memulakan rondaan, tuan mengambil alat komunikasi.
Tetapi tuan tidak mengujinya.
Tuan juga tidak memastikan saluran atau frekuensi yang digunakan adalah betul.
Perkara seperti ini boleh menjejaskan penilaian kerana ia menunjukkan tugas dilakukan tanpa pemeriksaan awal yang mencukupi.
Inilah yang saya maksudkan sebagai teori di sebalik amali.
Mengapa Kita Membuat Rondaan?
Kalau ditanya,
“Mengapa perlu membuat rondaan?”
Jawapan seperti,
“Untuk menjaga keselamatan,”
mungkin boleh diterima sebagai jawapan umum.
Tetapi untuk menunjukkan kefahaman yang lebih baik, jawapannya boleh dihuraikan seperti ini:
“Rondaan dilakukan untuk memeriksa dan memastikan keadaan di sesuatu kawasan berada dalam keadaan biasa, terkawal dan tidak menunjukkan sebarang perkara yang mencurigakan.”
Apa maksud keadaan biasa?
Kalau lampu pejabat masih menyala pada waktu malam, sedangkan pejabat sudah kosong, itu mungkin tidak biasa.
Kalau pintu tidak berkunci, itu tidak biasa.
Kalau ada motosikal diletakkan berhampiran kawasan stor tanpa sebab yang jelas, itu juga perlu diperiksa.
Kalau terjumpa barang peribadi di tempat yang tidak sepatutnya, itu pun menunjukkan keadaan yang luar biasa.
Maksudnya, anggota rondaan bukan sekadar berjalan mengelilingi kawasan.
Dia sedang memerhati, membandingkan keadaan semasa dengan keadaan biasa, mengenal pasti perkara luar biasa dan mengambil tindakan yang sesuai.
Kalau berlaku perbezaan pandangan dengan penilai, tidak perlu berdebat.
Terangkan sahaja dengan sopan bahawa rondaan bukan sekadar untuk “menjaga keselamatan”, tetapi juga untuk mengenal pasti sebarang perubahan, ketidakpatuhan atau keadaan luar biasa yang mungkin memerlukan tindakan.
Iklan Sekejap
Maaf kalau ada iklan muncul di sebelah blog ini.
Iklan itu keluar secara automatik dan berubah dari semasa ke semasa.
Kalau tuan puan terklik, bolehlah blog ini dapat sedikit hasil. Sedikit-sedikit, lama-lama mungkin cukup juga untuk belanja kopi.
Ketiga: Bentangkan LPKC Dengan Yakin
Semasa membentangkan LPKC, bercakaplah dengan yakin.
Tetapi keyakinan itu mesti disokong oleh fakta, pengetahuan dan kefahaman terhadap apa yang telah ditulis.
Tidak salah menggunakan teknologi atau AI sebagai alat bantu.
Namun jangan sampai kita menghantar laporan yang kita sendiri tidak faham.
Apa sahaja yang dihantar, pastikan tuan puan mampu menerangkan:
mengapa perkara itu ditulis;
dari mana maklumat itu diperoleh;
bagaimana projek dirancang;
apakah masalah yang hendak diselesaikan; dan
apakah hasil atau cadangan penambahbaikan.
Barulah laporan itu benar-benar milik kita.
Kandungan Penting Dalam LPKT
Bab 1
Dalam Bab 1, PPL biasanya akan melihat perkara berikut:
latar belakang;
penyataan masalah;
objektif;
skop; [ada juga yg akan tanya tentang limitasi - tp limitasi tiada markah ya]
kepentingan projek; dan
jika sesuai, batasan atau limitasi projek.
Dalam panduan yang lebih baharu, bahagian limitasi mungkin tidak lagi dinyatakan dengan cara yang sama seperti dahulu.
Namun, sekiranya projek memang mempunyai batasan yang jelas, tidak salah untuk menerangkannya secara ringkas dan munasabah.
Yang penting, jangan menulis semata-mata kerana takut kepada penilai. Tulis kerana maklumat itu benar-benar membantu pembaca memahami projek.
BAB 2
Bab 2 menerangkan reka bentuk, metodologi, proses perancangan projek dan pelan pelaksanaan seperti Carta Gantt.
Bahagian ini lebih menumpukan kepada bagaimana projek dirancang untuk dilaksanakan.
Ada kalanya seseorang mahu melihat pelaksanaan projek secara sangat terperinci di dalam Bab 2.
Pada pandangan saya, tidak semua perkara perlu dihuraikan seperti catatan harian.
Cukuplah diterangkan:
apakah langkah yang dirancang;
siapa yang terlibat;
bila aktiviti hendak dilaksanakan;
apakah sumber yang diperlukan; dan
bagaimana kemajuan projek akan dipantau.
Jika diminta membezakan antara perancangan dengan pelaksanaan sebenar, jelaskan dengan sopan:
“Bab ini menerangkan kaedah dan perancangan pelaksanaan projek. Bukti pelaksanaan sebenar pula boleh dilihat melalui penemuan, hasil, gambar, rekod dan lampiran yang berkaitan.”
Yang paling penting, tuan puan faham apa yang dilakukan dan boleh menjelaskannya dengan baik. Itulah tanda tuan kompeten atau terampil.
BAB 3
Bab 3 biasanya merangkumi:
penilaian;
hasil atau penemuan;
analisis; dan
ulasan terhadap hasil projek.
Bahagian ini perlu menunjukkan apa yang berlaku selepas maklumat dikumpulkan atau projek dilaksanakan. Jangan sekadar memasukkan gambar atau carta.
Terangkan apa yang ditemukan dan apakah maknanya kepada projek.
BAB 4
Bab 4 biasanya merangkumi perbincangan, cadangan, cadangan penambahbaikan dan kesimpulan.
Sekiranya projek masih belum selesai sepenuhnya, nyatakan status sebenar dengan jujur.
Contohnya:
“Sehingga Julai 2026, projek ini telah mencapai kira-kira 70 peratus pelaksanaan. Baki 30 peratus masih menunggu kelulusan peruntukan dan penyediaan peralatan.”
Jangan mengaku projek telah selesai jika sebenarnya belum selesai.
Penilai lebih menghargai laporan yang jujur dan dapat dijelaskan daripada laporan yang kelihatan sempurna tetapi tidak disokong oleh bukti.
Penilaian
Secara umum, agihan penilaian boleh merangkumi:
LPKC: 70 peratus;
persembahan: 15 peratus; dan
komponen lain: 15 peratus.
Namun, calon perlu sentiasa merujuk borang penilaian dan panduan terkini yang digunakan oleh pusat bertauliah.
Akhir sekali, rajin-rajinlah membaca, bertanya dan menambah ilmu.
Tidak mengapa kalau belum tahu.
Yang kurang baik ialah apabila kita tidak tahu, tetapi malu untuk bertanya.
Semoga dipermudahkan urusan tuan puan dan semoga berjaya dalam penilaian.