BEZA PRACTITIONER DAN ACADEMICIAN
Ini satu lagi perkara yang saya belajar sepanjang membuat PhD.
Saya datang daripada dunia practitioner. Bahasa mudahnya, kita biasa buat kerja, hadapi masalah dan cari jalan menyelesaikannya.
Kalau ada masalah, kita tengok keadaan, guna pengalaman, fikir apa yang sesuai, kemudian buat keputusan.
Kadang-kadang orang tanya:
“Kenapa Tuan buat macam tu?”
Kita jawab:
“Sebab berdasarkan pengalaman saya, cara ini biasanya menjadi.”
Bagi seorang practitioner, jawapan itu mungkin sudah cukup.
Tetapi apabila masuk dunia akademik, belum tentu cukup.
Academician mungkin akan tanya lagi:
“Apa bukti?”
“Berdasarkan kajian siapa?”
“Mengapa perkara itu berlaku?”
“Bagaimana Tuan sampai kepada kesimpulan tersebut?”
“Adakah terdapat pandangan atau kajian lain yang berbeza?”
Haa… mula pening kepala.
Sebenarnya bukan academician sengaja mahu menyusahkan kita. Cara mereka melihat sesuatu memang berbeza.
Practitioner banyak belajar daripada pengalaman.
Academician pula mahu pengalaman itu diterangkan, dianalisis dan disokong dengan bukti.
Contoh mudah.
Sebagai practitioner, saya mungkin berkata:
“Ramai anggota tentera lambat membuat persediaan untuk bersara.”
Saya mungkin tahu perkara itu berdasarkan pengalaman bertahun-tahun dalam tentera.
Tetapi dalam PhD, examiner boleh tanya:
“Bagaimana Tuan tahu?”
Di sinilah penyelidikan masuk.
Saya perlu tunjuk bagaimana data dikumpulkan. Siapa yang ditemuduga. Apa yang mereka ceritakan. Apakah pola yang muncul daripada data. Bagaimana dapatan itu dibandingkan dengan literature. Kemudian barulah saya boleh membuat sesuatu kesimpulan dengan lebih yakin.
Jadi pengalaman practitioner bukan tidak penting.
Malah pengalaman itu boleh menjadi satu kekuatan kerana kita memahami dunia sebenar yang sedang dikaji.
Tetapi pengalaman sahaja belum cukup untuk menjadi bukti akademik.
Dalam bahasa paling mudah:
Practitioner berkata: “Saya tahu sebab saya pernah mengalaminya.”
Academician bertanya: “Bagaimana kita boleh menunjukkan dan menerangkan perkara itu secara sistematik?”
Apabila kedua-duanya digabungkan, pada pandangan saya, di situlah penyelidikan menjadi lebih bermakna.
Kita bukan sekadar pandai bercakap tentang teori.
Kita juga bukan sekadar berkata:
“Percayalah… saya dah 30 tahun buat kerja ini.”
Pengalaman membantu kita memahami masalah. Penyelidikan pula membantu kita menyiasat sama ada apa yang kita fikir berdasarkan pengalaman itu benar-benar disokong oleh data.
Dan ada satu lagi perkara yang saya belajar.
Kadang-kadang pengalaman kita mengatakan A.
Tetapi selepas membuat kajian, data mungkin mengatakan:
“Tuan… bukan A sahaja. Ada B dan C yang Tuan tak nampak selama ini.”
Di situlah kita kena rendahkan sedikit ego.
Sebab tujuan PhD bukan untuk membuktikan bahawa pengalaman kita selama ini sentiasa betul.
Tujuannya ialah untuk menyelidik, memahami dan menerangkan sesuatu masalah dengan lebih mendalam dan sistematik.
Sebab itu saya rasa practitioner dan academician sebenarnya tidak perlu berada di dua dunia yang berasingan.
Practitioner membawa pengalaman dunia sebenar.
Academician membawa disiplin untuk menyiasat dan menerangkan pengalaman itu secara sistematik.
Kalau dapat gabungkan kedua-duanya dengan baik, kita bukan sahaja tahu apa yang berlaku, tetapi kita mungkin lebih memahami mengapa ia berlaku dan apa yang boleh dilakukan mengenainya.
Itulah antara perubahan cara saya berfikir selepas melalui perjalanan PhD ini.
Dulu mungkin saya akan berkata:
“Saya dah lama dalam bidang ini. Saya tahulah.”
Sekarang saya belajar untuk tambah satu lagi ayat:
“Saya rasa saya tahu… tapi mari kita tengok apa kata data.”