NASIHAT JUJUR IKHLAS UNTUK ANGGOTA INFANTRI
Ramai orang mengucapkan tahniah apabila seorang anggota tentera menamatkan perkhidmatannya. "Seronoklah... dah pencen."
Setiap kali saya mendengar ayat itu, saya hanya tersenyum. Dalam hati saya berkata, "Kalau mereka tahu kehidupan sebenar selepas tentera, mungkin mereka tidak akan berkata begitu."
Izinkan saya kongsi sedikit pengalaman sebagai bekas anggota infantri. Saya bukan orang yang paling berjaya. Saya juga bukan pakar motivasi. Tetapi saya telah melalui jalan ini lebih awal daripada ramai antara tuan-tuan.
Saya melapor diri bersama 2 orang skuad saya ke 11 RAMD, Kem Quetta, Kluang pada Januari 1977. Sejak hari itu, kehidupan saya berubah sepenuhnya. Hari-hari kami dipenuhi dengan latihan, kursus dan operasi.
Nama-nama seperti Ops Kelong, Ops Kota Golf, Ops Kota Golf Hotel, Ops Kota Echo, Ops Indera, Gonzales dan Ops Tuah masih segar dalam ingatan.
Begitu juga kawasan operasi seperti Batu Melintang, Gubir, Bukit Bunga, Baling, Belum, Raub, Sungai Ruan, Tapah dan Lepang Nenering. Ketika orang lain menyambut Aidilfitri bersama keluarga, ada masanya kami berada di dalam hutan.
Ketika orang lain lena di rumah, kami berkawal pada waktu malam. Ketika rakan sebaya membina kerjaya di bandar, kami sedang mempertahankan sempadan negara.
Itulah harga sebuah uniform. Kami tidak pernah menyesal. Kami mengangkat sumpah taat setia kepada negara dengan penuh keikhlasan.
Tetapi apabila umur semakin meningkat, saya mula menyedari satu hakikat yang jarang dibincangkan. Sebenarnya anggota tentera tidak pernah benar-benar bersara. Kita hanya berpindah daripada satu kehidupan kepada satu kehidupan yang lain. Atau Fasa Satu ke Fasa Dua.
Fasa pertama ialah kehidupan sebagai anggota tentera. Fasa kedua ialah kehidupan sebagai orang awam.
Bezanya sangat besar. Orang awam biasanya bersara sekitar umur 60 tahun. Kita pula menamatkan perkhidmatan ketika berusia sekitar 40 hingga 45 tahun.
Masih muda. Masih sihat. Masih bertenaga (kecuali kaki kencing @ tuang). Tetapi kerjaya yang kita kenal selama lebih dua puluh tahun sudah berakhir.
Hakikatnya... Di sinilah kehidupan sebenar bermula. Ramai yang menyangka cabaran paling besar ialah ketika menjalani operasi.
Sebenarnya tidak. Cabaran yang lebih sukar ialah apabila kita kembali menjadi orang awam. Tiba-tiba kita perlu mencari pekerjaan. Belajar menyesuaikan diri dengan budaya kerja yang berbeza. Memikirkan yuran pengajian anak. Membaiki rumah yang semakin uzur. Menukar bumbung yang bocor. Membaiki kereta yang sudah lama berkhidmat. Menjaga ibu bapa yang semakin tua.
Dan dalam masa yang sama, kita masih perlu mencari rezeki. Semua ini berlaku ketika pendapatan tidak lagi seperti dahulu. Saya pernah melalui saat itu.
Terus terang saya katakan... Awalnya saya seperti rusa masuk kampung. Walaupun sudah lama menjadi anggota tentera, dunia awam rupa-rupanya mempunyai peraturan yang berbeza.
Di dalam tentera, kita tahu apa yang perlu dibuat. Di luar, tiada siapa yang memberi arahan. Di dalam tentera, kita ada sistem yang tersusun. Di luar, kita perlu membina kehidupan sendiri.
Di sinilah saya sedar satu perkara.
Persaraan bukan sekadar menunggu tarikh terakhir dalam buku perkhidmatan. Persaraan sebenarnya ialah satu projek kehidupan yang perlu dirancang bertahun-tahun lebih awal.
Kita semua tahu satu perkara yang orang lain tidak tahu.
Tarikh tamat perkhidmatan kita sudah ditetapkan. Kita tahu bila hari itu akan tiba. Jadi mengapa kita masih menunggu sehingga beberapa bulan sebelum bersara untuk mula berfikir tentang masa depan?
Bagi saya, persediaan itu sepatutnya bermula sebaik sahaja menerima gaji pertama selepas tamat latihan rekrut. Sedikit demi sedikit. Bina rumah. Kurangkan hutang. Cari ilmu. Belajar kemahiran baharu. Bina rangkaian kenalan. Simpan sedikit demi sedikit. Apabila tiba hari kita menanggalkan uniform, kita tidak lagi berasa takut.
Kita sudah bersedia.
Percayalah...
Kalau saya tahu semua ini ketika berumur 20 tahun dahulu, mungkin kehidupan saya selepas tentera akan menjadi lebih mudah.
Penutup Jujur
Tetapi kerana lelaki yang bijak tidak menyerahkan masa depannya kepada nasib. Saya bukan orang berjaya besar. Tetapi Allah izinkan umur panjang, dan sehat wal-afiat serta diberi hidayah untuk berkongsi dgn Tuan dan Puan.
Hidup tanpa hutang, ada kemahiran,ada harta minimum, ada pasangan yang stabil —itu sudah satu kekayaan.
28 Januari 2026