Persediaan Perancangan untuk Berniaga: Realiti dan Keperluan Bakal Pesara Tentera
Bagi kebanyakan bakal pesara tentera, khususnya anggota lain-lain pangkat, peluang pekerjaan selepas tamat perkhidmatan semakin terhad. Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila majikan awam tidak mampu atau tidak bersedia memenuhi jangkaan gaji yang lebih tinggi, sedangkan pengalaman ketenteraan tidak sentiasa dianggap sebagai kemahiran yang mudah diterjemahkan ke dalam sektor awam. Justeru, pilihan untuk berniaga sendiri bukan lagi satu pilihan sampingan, tetapi satu keperluan strategik untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas persaraan. Pada tahun 2023, 40% lulusan Kursus Peralihan PERHEBAT tidak dapat pekerjaan. Ingat ya! Berniaga juga dianggap sebagai satu kerja.
Namun begitu, bekas tentera yang belum pernah terlibat dalam bidang perniagaan perlu memahami satu hakikat penting: tidak semua perniagaan akan berjaya hanya kerana kita rajin atau berdisiplin. Perniagaan yang berpotensi untuk hidup dan berkembang ialah perniagaan yang mempunyai daya tarikan kepada pelanggan, malah sebaik sahaja dibuka pada hari pertama. Tarikan ini bukan berpunca daripada ego peniaga atau minat peribadi semata-mata, tetapi daripada keperluan sebenar pasaran.
Persoalan utama yang perlu dijawab ialah: apa yang menjadikan sesuatu perniagaan itu menarik kepada pelanggan? Jawapannya bergantung kepada beberapa faktor utama, antaranya sifat dan karakter pelanggan setempat, tahap kemampuan kewangan mereka, minat, tabiat pembelian, serta gaya hidup harian. Di samping itu, bakal peniaga perlu menilai tahap persaingan sedia ada, sama ada pasaran sudah tepu atau masih mempunyai ruang, serta mengenal pasti pembekal yang stabil, kos modal permulaan, dan kedudukan atau lokasi tapak perniagaan yang strategik.
Dalam masa yang sama, faktor peniaga itu sendiri tidak boleh diketepikan. Pelanggan hari ini bukan sekadar membeli produk, tetapi menilai sikap penjual, kualiti layanan, konsistensi perkhidmatan, serta kewajaran harga yang ditawarkan. Perniagaan kecil sering gagal bukan kerana produk tidak baik, tetapi kerana penjual tidak memahami apa yang pelanggan benar-benar mahu: harga yang munasabah, layanan yang jujur, dan kualiti yang boleh dipercayai.
Satu kesilapan besar yang sering berlaku ialah bekas tentera membuat keputusan perniagaan tanpa memahami lokasi kehidupan persaraan mereka. Sama ada ingin menetap di bandar, separa bandar, atau luar bandar, setiap lokasi mempunyai dinamik pasaran yang berbeza. Perniagaan yang laris di bandar mungkin langsung tidak sesuai di kampung, dan sebaliknya. Oleh itu, kajian potensi pasaran setempat adalah kritikal—apa yang diperlukan oleh masyarakat di kawasan tersebut, apa yang belum ada, dan apa yang sering menjadi masalah harian mereka.
Hakikatnya, proses ini memerlukan masa. Inilah sebabnya bakal pesara digalakkan untuk berpindah lebih awal ke lokasi persaraan, mula bergaul dengan komuniti setempat, berbual dengan penduduk, peniaga lain, dan ketua masyarakat bagi memahami selok-belok setempat. Maklumat tidak formal inilah yang sering menjadi modal paling berharga dalam perniagaan kecil.
Kesimpulannya, perniagaan bagi pesara tentera bukan soal “berani cuba”, tetapi soal perancangan yang matang, pemerhatian yang teliti, dan kesediaan untuk merendahkan ego sebagai bekas anggota berseragam. Dalam dunia awam, pelanggan adalah “pegawai pemerintah sebenar”, dan kejayaan perniagaan bergantung kepada sejauh mana peniaga mampu memahami, menyesuaikan diri, dan memberi nilai kepada pelanggan mereka. Bagi bakal pesara, memulakan persediaan berniaga lebih awal bukan sahaja langkah bijak, tetapi satu bentuk perlindungan terhadap ketidaktentuan hidup selepas persaraan.
Ramai yg hadir kursus untuk berihat. Ramai juga yg mahu cari ilmu. Yg pergi berihat, mungkin tuan telah nafikan mereka yg betul2 mahu hadir kursus tersebut kerana sudah ada perancangan, sudah ada tapak, sudah ada bantuan. Cuma belum ada ilmu dan kemahiran sahaja.
Bila sudah bersara, dan sudah ada ilmu dan pengetahuan dan kemahiran, hilang terus keyakinan mahu teruskan atau tidak. Nah itu lah sebabnya kita kena buat persiapan awal. Kalau sudah di PERHEBAT dan belum ada rancangan, tanyalah kawan2 apa plan mereka. bagaimana mereka mahu mula buat. Masih ada masa untuk jadi veteran yang berjaya. Masa ini Tuan boleh lihat dulu senarai kursus peralihan di PERHEBAT