- PERJALANAN MENUJU PERSARAAN YANG BERMAKNA
Kursus Peralihan: Sediakah Anda untuk Bersara?
Masuk saja fasa kursus peralihan ini bermakna tuan-tuan dan puan-puan sedang berada di penghujung perkhidmatan. Saat untuk menjadi orang awam semula semakin hampir — sedia untuk hidup bebas! Tapi persoalannya, adakah tuan puan benar-benar bersedia untuk bersara?
1. Realiti Selepas Bersara
Menurut seorang Panglima Tentera Udara Indonesia, persaraan bukan pengakhiran — ia adalah permulaan kehidupan baru. Tuan akan bermula dari sifar. Segalanya berbeza. Dari suasana berkumpulan dan berpasukan, kini tuan akan berseorangan. Kajian juga menunjukkan bahawa ramai pesara tentera sukar menyesuaikan diri dengan masyarakat awam, kecuali apabila bergaul sesama veteran. Maka, merancang awal adalah penting.
2. Soalan yang Perlu Difikirkan
Sambung balik — hutang rumah dan kereta dah langsai?
Perbelanjaan anak-anak masuk universiti nanti macam mana?
Cukupkah duit untuk kenduri kahwin anak?
Berapa nak bagi belanja bulanan anak nanti?
Kebanyakan daripada kita tidak merancang dengan baik, termasuklah saya sendiri. Bezanya, saya bernasib baik kerana dikurniakan minat untuk melanjutkan pelajaran, menggunakan duit sendiri dan bantuan kerajaan. Berbekalkan ijazah, mudah sedikit untuk saya mencari pekerjaan selepas bersara. Dari semasa berkhidmat hingga sekarang, masih terus belajar.
3. Kenal Pasti Minat dan Kemahiran
Setiap orang ada minat dan kecenderungan tersendiri. Asah kemahiran itu — walaupun sekadar minat potong rumput.
Mula-mula guna mesin galas, lama-lama belajar baiki mesin, kemudian tambah peralatan dan akhirnya jadi kontraktor potong rumput. Begitulah juga saya — bermula suka-suka, akhirnya boleh ambil upah.
Saya juga pernah hadiri kursus ternakan ruminan di Negeri Sembilan, unggas di Alor Gajah, dan lebah di Pontian. Pernah bekerja sambilan sebagai staf logistik, pegawai latihan, konsultan keselamatan, dan juga sebagai tutor Open University sejak tahun 2003 hingga kini. Tapi perkara yang paling penting — ramai penasihat pesara tentera ialah mereka yang belum bersara! Sedangkan penasihat sebenar ialah veteran yang telah melalui kehidupan itu sendiri.
4. Realiti Pandangan dan Sikap
Malangnya, masih ramai anggota yang memandang rendah terhadap veteran. Antara tohmahan yang biasa didengar —
“Aku takkan jadi pengawal keselamatan.”
Akhirnya, jadi juga. Bukan tuan laaa… orang lain.
Kursus peralihan di PERHEBAT bukan tempat untuk lari daripada kehidupan kem atau individu tertentu. Ia bukan masa untuk rehat, tetapi masa untuk merancang masa depan.
Kalau cita-cita nak buka warung — sertailah kursus peralihan yang beri peluang praktik di warung sebenar. Belajar dari bawah. Dapatkan pengalaman, kenalan, dan kemahiran sebenar. Semua ini akan jadi sumber pendapatan tambahan selepas bersara nanti.
Kenapa tuan puan tidak guna waktu cuti 30 hari setiap tahun untuk kerja sambilan di warung atau di tempat ternakan ayam, kolam ikan, atau hadir kursus ternakan ayam di Alor Gajah. Cari pengalaman, kemahiran dan pengetahuan dalam satu waktu.
5. Dua Jalan Selepas Bersara
Selesai kursus peralihan, tuan akan keluar dari kem —
belok kiri atau kanan.
Kanan – cari makan dan teruskan kehidupan.
Kiri – duduk diam-diam di rumah hingga duit simpanan habis.
Pilihan di tangan tuan.
Dan jangan lupa — mula saja bersara, ramai terus “makan angin” ke Hatyai atau Betong. Tak salah, tapi pastikan persiapan kewangan cukup dulu.
6. Kehidupan Sebenar Bermula Selepas Tentera
Ingat! kehidupan sebenar bermula selepas bersara — hingga akhir hayat. Dalam tentera 21 tahun. Selepas bersara mungkin 30 tahun atau lebih. Tuan puan kena ingat, dlm tempuh ini badan kita semakin lemah. Penyakit mula datang dan singgah. Kereta dan rumah semakin buruk. Anak-anak semakin jauh.
Ketika itulah yang berjaya, yang kecundang, yang bahagia, yang kecewa, yang miskin, dan yang papa kedana akan benar-benar terlihat — tanpa mengira pangkat, pingat, atau darjat.
Kos sara hidup makin meningkat, ubat makin banyak, anak nak kahwin, kereta rosak, semuanya duit. Pencen yang kecil hanya cukup-cukup makan selepas ditolak hutang, insurans, dan bayaran bulanan.
Gunakanlah kemahiran dan pengalaman sedia ada untuk tambah pendapatan. Seperti kata MB Kedah, Dato’ Sanusi:
“Sampai masanya nanti, kita akan kata... tak ada pun tak apa — rumah dua tingkat, kereta besar, jam mahal, rokok, pancing semua tak penting dah.”
7. Jiwa dan Sikap Penentu Segalanya
Ikhlas saya cakap — kalau jiwa tertutup, kursus di PERHEBAT pun tak guna. Ada yang datang kursus sekadar nak “lari” dari suasana kem. Tapi orang yang jiwanya tenang, dia datang sebab tahu apa dia nak buat.
Contohnya, seorang anggota yang ikut kursus kerana mahu belajar buat reban ayam sendiri. Bukan nak jadi kontraktor, tapi nak berdikari dan jana pendapatan sampingan. Akhirnya, dia bahagia dengan pencen kecil kerana hidupnya sederhana tapi cukup.
8. Kenali Diri dan Potensi
Kalau tuan rasa tiada minat tertentu, jangan risau. Itu bukan kelemahan. Kadang-kadang kita tak nampak potensi diri. Tanya kawan — apa kelebihan aku sebenarnya? Kadang mereka nampak apa yang kita tak perasan.
Ingat, ATM menyediakan Kursus Peralihan bagi semua anggota tentera membuat persediaan untuk bersara dengan hasrat bakal veteran ATM akan berjaya. PERHEBAT ditubuhkan pada tahun 1994 untuk memberi kemahiran, ilmu dan pengetahuan agar veteran berjaya selepas bersara. Tapi hakikatnya, ilmu dan pengalaman yang tuan ada sebelum dan semasa berkhidmat sudah lebih dari cukup untuk berjaya — jika dimanfaatkan.
Tips kejayaan. Pesara yang berjaya bukan mereka yang banyak duit, tetapi mereka yang sehat dan sentiasa ada duit (walaupun sedikit). Hidup mereka berkat. Ayam ternakan sentiasa membiak. Homestay yang kecik tu sentiasa ada orang nak sewa. Kereta buruk jarang rosak. Tuan puan rancang dan buat la mulai sekarang.
9. Nasihat Akhir: Rancang Awal, Bertindak Sekarang
Segalanya bergantung pada diri sendiri, pada qada’ dan qadar Allah SWT. PERHEBAT hanya menyediakan jalan. Belajar atau tidak, tuan yang tentukan.
Mulalah berfikir tentang persaraan seawal mungkin.
Tanya diri — apa kemahiran, minat, pengalaman atau hobi yang boleh dijadikan sumber pendapatan? Kerana hakikatnya, duit pencen memang tidak akan cukup. Tuan sendiri telah melihat orang yang rajin di kampung yang berjaya walaupun tidak terdedah dgn kehidupan yg bergaya seperti anggota tentera, dan mereka yg berfoya-foya, dan boros berbelanja akhirnya miskin selepas bersara. Tragedi yg paling malang ialah menyewa rumah sampai akhir hayat atau menumpang di rumah orang, dan bercerai berai. ....pilihan tuan.
Hari ini (tahun 2024-2025), Menteri Pertahanan sedang berusaha bantu veteran dapat kerja selepas bersara. Tapi sedarlah — lebih 65% anggota Tentera Darat ialah dari kor infantri, sedangkan jawatan kosong yang wujud hampir semuanya bukan untuk infantri. Pada tahun 2022, 90% bekas tentera hidup dalam kemiskinan, berbanding 6% dari keseluruhan rakyat Msia. Hari ini mungkin sedikit berkurang, sebab ramai sudah tiada. Tapi bagaimana pula nasib janda dan anak-anak mereka?
Apabila menteri bertukar, keutamaan pun berubah. Maka nasib veteran tetap begitu juga.
Jadi, usahakanlah sendiri. Datang ke PERHEBAT dengan tujuan yang jelas, dan gunakan masa singkat ini untuk merancang sesuatu yang boleh mengubah hidup selepas bersara. Kursus peralihan saya di sebuah bank dan kemudian terus bekerja di situ. Ada seorang bekas Koperal dari Rejimen Askar Melayu dari Bentong tinggal hampir dengan tempat saya tinggal nampak sangat selekeh kerja panjat kelapa. Dia punya 2 buah lori dan sebuah kedai. Beliau jual santan dan sabut kelapa. Jika anak-anak tidak membantu, beliau panggil seorang pekerja sambilan membantu.
Klik sini untuk baca rahsia veteran yang berjaya