Tuesday, April 8, 2025

VETERAN: RAHSIA VETERAN ATM YANG BERJAYA


VETERAN: RAHSIA MEREKA YG BERJAYA: BERMULA SEBELUM BERSARA

Pernahkah tuan terfikir, mengapa ada segelintir veteran tentera yang hidupnya senang, berniaga sendiri, dihormati dan berdikari – sedangkan ramai yang lain bergelut selepas tamat perkhidmatan? Namun, kita masih redho dan bersimpati melihat sahabat veteran yang terpaksa berdiri menjaga pintu pagar kilang demi mencari rezeki. Itulah ketentuan Allah SWT – setiap orang diuji dengan cara yang berbeza.

Saya ingin berkongsi beberapa rahsia sebenar – berdasarkan pengalaman peribadi dan pemerhatian saya sendiri – tentang bagaimana seorang anggota tentera boleh merancang lebih awal agar menjadi veteran yang bukan sekadar hidup selesa, tetapi juga berjaya dan dihormati.


1. Realiti Selepas Bersara

Saya bersara pada tahun 2000. Sepanjang pengalaman bekerja di pelbagai tempat selepas itu, saya dapati rata-rata masyarakat awam tidak benar-benar mengiktiraf veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mereka tidak nampak pengorbanan kita. Jadi, jangan harap simpati daripada mereka. Ini realiti! Semua orang jaga periuk masing-masing!

Segala bantuan yang diterima veteran hari ini pun bukan datang dengan ikhlas, tetapi hasil desakan dan perjuangan berterusan oleh pertubuhan-pertubuhan veteran dan individu lain. Kadang-kadang bantuan itu pun ada kaitan politik – untuk tarik undi atau populariti. Saya tidak perlu bukti bertulis; cukup kita lihat keadaan sekeliling. Ada veteran dipenjarakan kerana meneroka tanah kecil untuk mencari rezeki, sedangkan peneroka besar yang menceroboh beribu hektar tanah untuk tanam musang king tidak pula diambil tindakan. Adakah sesiapa yang ke depan membantu veteran ini?

Kesimpulannya, tiada siapa yang akan tolong kita sepenuhnya. KITA WAJIB BERDIKARI.


2. Berdikari dengan Cara Bermaruah

Jangan tunggu sesiapa atau beralasan dengan keadaan. Rancang hidup sendiri. Tapi jangan pula ikut jejak orang yang senyap-senyap kaya tanpa bantu sahabat lain. Bila kita berjaya nanti, hulurkan tangan kepada veteran lain – terutama yang pemalu atau tidak tahu cara bermula. Ingat, kejayaan sebenar ialah apabila kita boleh bantu orang lain bangkit bersama. Ingat kata Rasullulah, orang yang paling kuat ialah mereka yang boleh tahan kemarahan! Dan pendapat saya.... mereka yang berjaya ialah mereka yang bantu kawan2 utk berjaya juga! Pernah kita terbaca, lagi banyak kita sedeqah, lagi banyak rezeki Allah kurniakan.


3. Hakikat Dunia: Orang Hanya Mengiktiraf yang Berjaya

Ini realiti. Tiada siapa peduli orang susah – sama ada veteran atau orang awam. Dunia menilai berdasarkan kejayaan. Orang miskin dianggap malas, bukan bernasib malang. Maka kita mesti buktikan bahawa kita juga mampu berdiri sama tinggi dengan usaha sendiri. Tapi satu lagi, banyak juga keadaan orang yg hidupnya serba sederhana serta cukup (berkat) lebih dihormati oleh masyarakat. 


4. Persediaan Awal Sebelum Bersara

Ramai bercakap tentang “persediaan bersara”, tapi tidak tahu apa yang perlu disiapkan. Persediaan bermakna kita tahu:

  • Apa yang hendak dibuat selepas bersara,
  • Di mana mahu bermula,
  • Berapa modal diperlukan,
  • Apa kemahiran dan pengetahuan yang perlu dipelajari.

Tanpa jawapan kepada perkara ini, “persediaan bersara” hanya tinggal slogan kosong. Jika kurang faham, mohon tanya kwn2 atau emel saya.

Tapi dari bacaan dan pemerhatian saya, ada pepatah yg berguna utk kita, 'diam-diam ubi, berisi'. Saya lihat askar yg diam, tak ckp banyak, tidak berpangkat, tetapi bila jadi veteran, beliau amat berjaya.


5. Mulakan dengan Sikap dan Tindakan

Permulaannya mudah: ringankan tulang, ubah sikap, dan pilih kawan yang rajin mencari rezeki halal.

Rahsia kejayaan sudah ada di depan mata kita – lihat mereka yang berjaya, tidak kira mereka yang sedang berkhidmat, veteran tentera atau orang kampung. Bezanya bukan pada nasib, tapi pada disiplin dan pilihan hidup. Pernah terfikir bagaimana seorang makcik boleh berniaga di pasar malam?

Orang berjaya tidak hidup mewah secara melampau. Mereka sederhana: kereta kecil, pakaian biasa, tidak membazir, tidak merokok, dan kebanyakannya “geng masjid”. Mereka bukan orang kaya, tetapi hidup tenang, bebas hutang, dan sihat. Dan mereka juga rajin bersedeqah.


6. Kenal Potensi Diri

Setiap individu ada bakat dan keistimewaan sendiri: ada yang pandai gunting rambut, buat lemang, ternak ayam, ikan, buat satay, baiki motosikal, buat mee rebus, atau minat ternak kelulut. Gunakan cuti tahun atau masa lapang untuk sertai kursus, tambah kemahiran atau belajar sambil bekerja. Kalau rajin, waktu bulan puasa pun boleh sewa khemah dan jual lemang – kecil, tapi bermula. Ada sorang veteran hidup hanya dengan tanam dan jual air tebu. Habis depan rumah [tanah lapang] jadi kebun dia. Selepas nampak potensi, pihak mesjid benarkan dia tanam tebu dgn lebih tersusun di tanah masjid yang masih belum di bangunkan. Untung dia kongsi sikit dgn masjid. Hari jumaat dia edarkan air tebu secara percuma.

Kalau minat memancing, cuba la pula cari ikan semilang, udang atau ketam kerana harganya boleh tahan mahalnya.


7. Beli Rumah: Soal Lokasi dan Tanah

Ramai anggota silap langkah. Selepas bersara atau hampir nak bersara, baru sibuk membeli rumah teres kerana nampak “mudah”. Tapi mereka tidak sedar, harga rumah itu termasuk kos jalan, padang permainan dan landskap. Sebenarnya, bina rumah atas tanah sendiri di kampung jauh lebih murah. Seorang veteran yang kerjanya sebagai kontraktor beritahu, buat rumah saiz sederhana di tanah sendiri, 100 ribu sudah cukup!

Tanah kampung masih boleh dibeli dengan harga berpatutan (jika rajin mencari). Gunakan kemudahan pinjaman perumahan kerajaan untuk membeli tanah tapak rumah atau tanah kebun. Saya sendiri beli tanah semasa masih berkhidmat dan bina rumah tiga tahun sebelum bersara. Anak isteri saya sudah saya “park” di kampung lebih awal – jadi saya tidak kelam-kabut bila tarikh bersara tiba.

Cara beli rumah terbaik. Kahwin se awal yang boleh. Percayalah orang rumah mesti akan desak kita utk beli rumah. Jika boleh belilah tanah dalam tempuh 5 tahun perkhidmatan. PINJAMAN beli tanah atau beli rumah perlu dibayar balik dlm tempuh 30 tahun. Bila sudah terikat dgn pinjaman perumahan, takkan tuan nak berhenti sebelum pencen! Atau berhenti awal. Tuan tentu terpaksa tggu hingga pencen! MASALAHnya ramai yang bersara awal, menyesal! Inilah baiknya kahwin awal. Hidup lebih terurus dan berwawasan. Saya tahu.... bukan semua begitu.

Bila sudah ada tanah, hendak buat rumah 3 tahun sebelum pencen pun boleh. Lagi pun kita kan selalu kena posting, kalau buat awal, nanti rumah tinggal kosong. Ingat! Jangan usik duit  gratuiti. Seorang sahabat saya beli rumah berharga 150 ribu rgt pada tahun 1995. Rumah bungalow. Tuan tahu tak? Sebenarnya harga rumah 50 ribu dan nilai tanah 100 ribu. Saya nak bgtau bahawa harga tanah lebih mahal dari harga rumah. Mcm tu lah kalau beli rumah teres.

Ramai askar mahu rumah dekat dgn sekolah. Maaf ya bang... rumah terbaik ialah yg dekat dgn hospital. Kalau di tanya, sendiri pun boleh jawab.


8. Ilmu, Pengalaman dan Kemahiran

Kita semua ada kemahiran – tapi banyak yang dah “berkarat”. Pilih: nak asah balik atau belajar benda baru? Kalau pekerja asing boleh fasih berbahasa Melayu dan pandai berniaga dalam masa tiga tahun, mengapa kita yang telah berkhidmat puluhan tahun masih takut mencuba? Maksud saya dalam masa sedang berkhidmat, kita cari berbagai ilmu dan kemahiran.

Sebelum fikir nak buat apa, hentikan dulu tabiat boros: beli motor besar, kasut mahal, telefon berjenama, atau rumah mewah yang menjerat hutang. Orang yang tenang kewangannya akan tenang fikirannya bila dapat RM10 atau RM15 hasil usaha sendiri, dan akan terus fikir bagaimana nak gandakan pendapatan itu.

Tips berniaga! Tuan tahu tak orang yang sedang berniaga tu, dia telah berniaga macam-macam sebelum rasa paling sesuai dengan apa yang dia sedang buat. Seperti saya yang pernah kursus ternak kambing [ruminan], ayam [unggas] dan lebah, sekarang ni hanya ternak ayam hutan kecil-kecilan sebab ternak ayam bebas begini lebih mudah dan murah. Risiko untuk sakit atau rugi amat kecil atau hampir tiada. 


9. Kesimpulan

Kesimpulannya, kejayaan seorang veteran bermula jauh sebelum bersara. Ia bukan tentang nasib, tetapi tentang kesedaran, perancangan dan tindakan. Kita tidak perlu jadi kaya raya, cukup sekadar bebas hutang, sihat tubuh badan, hidup sederhana, dan mampu bantu orang lain. 

Itulah makna sebenar “bersara dengan bermaruah”.

...tambahan di bawah...


tekan tulisan ini untuk  mengetahui di mana kita boleh cari kemahiran

 CERITA SETERUS nya