PANDUAN BAGI ANGGOTA TENTERA MALAYSIA
Mengapa atau kenapa saya berkongsi panduan ini? [1] kerana saya bekas tentera pada awalnya kurang berjaya, [2] kerana saya mahu berkongsi pengalaman, [3] kerana saya mahu berkongsi beberapa tips kecil.
Apa yang saya kongsi ini sebenarnya sudah ditulis di paparan lain, dan mungkin menjadikan mereka yang telah membaca rasa bosan. Namun izinkan saya berkongsi sekali lagi, kerana niat saya bukan untuk mengulang cerita, tetapi untuk menyentuh hati dan membuka sedikit ruang berfikir.
Apabila kita bersara pada umur antara 40 hingga 45 tahun, tuan perlu bersedia dalam segala aspek: harta, hutang, kesihatan, dan pendidikan anak-anak.
Harta – paling minima, ada sebuah rumah. Hutang – sebaiknya tiada hutang supaya pencen itu bersih. Kesihatan – semakin tua, kita semakin lemah, dan jika tuan sakit, Allah sahaja yang tahu betapa susahnya kita dan keluarga kita. Pendidikan anak-anak – bersedia mengeluarkan wang untuk pendidikan mereka.
Orang awam bersara pada umur 60 tahun. Ketika itu, anak-anak kebanyakannya sudah habis belajar, dan ada yang sudah berkahwin. Nampak bezanya?
Itulah sebab mengapa saya mahu berkongsi panduan menghadapi persaraan sebagai seorang veteran tentera.
Tentang hutang – jika kita masih ada hutang rumah, kereta dan lain-lain, pencen akan tinggal sedikit, dan kita terpaksa menambah pendapatan untuk menampung kekurangan. Jika tiada hutang, malah ada homestay, bekerja sebagai pengawal keselamatan pun tiada masalah.
Bagaimana mahu menambah pencen yang kecil itu? Bekerja, berniaga, atau usaha kecil-kecilan – tanam dan jual ubi kayu, ternak dan jual ayam kampung, dan lain-lain yang sesuai.
Tuan ada kemahiran untuk berniaga? Inilah isu yang paling sensitif. Tiada kemahiran? Sebenarnya ada. Pernah gunting rambut kawan? Masa cuti, pergilah pertajam kemahiran itu. Pergi kursus atau kerja sambilan di kedai gunting. Atau cakap kepada tauke, “saya mahu kerja sambil belajar, saya tidak mahu gaji atau elaun”.
Belajar di warung jual kuih boleh, warung jual satey boleh, warung jual kuey teow pun boleh. Macam-macam sebenarnya kita boleh buat.
Apa yang saya kongsikan ini adalah [1] kesedaran, [2] persiapan persaraan.
Mengapa mahu buat persiapan awal? Kerana selalu dengar, “takkan nak buat persediaan, saya baru jer masuk askar”, “saya servis pun baru ja lima tahun bang”, “sepuluh tahun lagi baru pencen, lambat lagi”.
Ada satu penulisan tahun 1955 oleh Kelly yang menyatakan, persiapan persaraan patut bermula apabila seseorang menerima gaji pertamanya.
Tuan-tuan yang budiman, sebenarnya itu bukan persiapan persaraan, itu hanya persiapan minda. Saya cuma menyentuh bab perangai dan sikap.
Kesimpulannya, kerajaan menyediakan banyak sumber untuk rakyat, tetapi kadar kemiskinan tetap tinggi. Anak-anak muda berijazah, walaupun berilmu dan nampak cerdik, pun hidup dengan hutang kad kredit dan hutang kereta.
Kita askar, tahap pendidikan sederhana, tetapi ramai veteran hidup berjaya. Mereka tidak mengharapkan bantuan sepanjang hayat. Mereka berusaha. Mula-mula memang payah, lama-lama senang benar nak kaya, kata mereka.
Anda boleh belajar gunting rambut di pusat latihan kemahiran bertauliah seperti Real Barber Academy (JPK) yang menawarkan kursus praktikal, atau melalui program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seperti di IKBN Peretak, yang sering tawar kursus percuma untuk belia dengan peralatan disediakan, serta boleh cari bengkel-bengkel pendek dari barber-barber berpengalaman secara dalam talian atau di kawasan anda.
ini kursus cari makan punya.... belajar di kem dengan tobek kan dulu kepala kawan adalah yg terbaik
OK lah, saya stop sini dulu .... 20 Januari 2026
SASARAN: Hari pertama aku bersara.... hutang semua sudah langsai. Tahun pertama aku kerja, aku mesti beli tanah lot rumah atau pertanian di kampung. Tahun ketiga, aku mesti kawin. Bakal isteri aku mesti dari satu kampung. Lantak lah apa orang nak kata. Kenuri kawin buat sekali ja, cara bergabung.
Yg lambat beli tanah atau rumah tu la yg akan ada hutang masa bersara nanti...