Latihan Tanpa Akses: Kesombongan Dasar yang Perlu Disemak Semula
Kesombongan dalam menyediakan latihan kemahiran amat jelas apabila ada pihak dengan bangganya menyatakan, “Tugas kami hanyalah menyediakan latihan,” dan apabila peserta gagal untuk berniaga, bertani atau menternak, jawapan mudah yang diberi ialah, “Itu bukan salah kami.”
Benar, dari sudut prosedur, tuan-tuan telah melaksanakan tugas. Tetapi dari sudut amanah, keadilan dan tanggungjawab kepada rakyat, jawapan itu terlalu dangkal dan berbau lepas tangan. Program yang hanya berakhir dengan sijil latihan tanpa akses sebenar kepada sumber bukanlah pembangunan, tetapi helah pentadbiran.
Ada satu kisah di Benua Afrika yang wajar dijadikan cermin. Sebuah suku kaum menolak kehadiran kerajaan yang mahu memberikan latihan pertanian. Apabila ditanya sebabnya, jawapan mereka sangat jelas dan jujur: “Apa guna kami ada kemahiran, jika kerajaan tidak menyediakan tapak untuk kami bertani?” Mereka tidak menuntut pemilikan tanah, hanya memohon ruang untuk bekerja dan hidup dengan bermaruah.
Jika hakikat semudah ini pun masih gagal difahami, maka persoalannya bukan lagi soal kemampuan, tetapi soal kesombongan dasar. Mengajar rakyat berniaga tanpa menyediakan tapak berniaga di kawasan mereka tinggal adalah sama seperti menyuruh orang berenang tanpa air. Jangan perkara asas begini pun mahu dinafikan atau diputar belit dengan laporan dan slaid pembentangan.
Saya teringat satu kenyataan tegas oleh Sultan Selangor (sekiranya ingatan saya tepat): “Awak pergi tinggal di tepi ladang babi sebelum awak cadang begitu.” Kata-kata itu bukan kasar, tetapi jujur dan berterus terang — lahir daripada kefahaman tentang realiti rakyat. Ramai pegawai mengangguk setuju dengan ketegasan Tuanku. Namun persoalannya, apakah penganggukan itu diterjemahkan kepada tindakan sebenar?
Program latihan kemahiran yang dilaksanakan hari ini masih mengulangi kesilapan sama seperti kisah di Afrika: latihan diberi, tetapi akses dinafikan. Ilmu disampaikan, tetapi tapak dinafikan. Kegagalan peserta kemudian dijadikan bukti kononnya rakyat malas atau tidak berdaya saing.
Akhirnya, marilah kita kembali kepada keinsafan. Kuasa dan jawatan bukan milik mutlak manusia, tetapi amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Maha Pencipta. Program kerajaan perlu disemak semula supaya lebih komprehensif, menyeluruh dan berteraskan realiti, bukan sekadar melepaskan batok di tangga. Pembangunan sebenar bukan pada berapa ramai dilatih, tetapi berapa ramai yang benar-benar mampu hidup berdikari selepas itu.
Sama juga dengan ucapan membenteras rasuah dan membasmi salah guna dadah. Mana hasilnya? Apa jadi dengan kartel dan nine dragons? Ada yg dok merancang dapat pencen nanti aku bersara. Separuh pun OK.
Agak-agak berapa juta Ringgit yang telah berlanjakan tanpa hasil yang setimpal?