NASIHAT JUJUR IKHLAS UNTUK ANGGOTA INFANTRI DARI BEKAS INFANTRI
Suasana di Gaza, Palestin. gambar memberi 1000 cerita.... tentang dia dan kita
Saya kongsi ilmu berasaskan pengalaman sebagai bekas anggota infantri. Pada umur 19 tahun saya lapor diri di 11 RAMD Kem Quetta, Kluang (pada masa itu). Kemudian terus masuk OPS KELONG IV di Karak Pahang. Kursus sana sini, operasi sana sini. Ops Kota Golf, Hotel, Echo, Indera, Tuah. Entah apa lagi... di Batu Melintang, Bukit Bunga, Baling, Lepang Nenering, Belum, Raub, Sg Ruan, Tapah (Post Tenau). Eksesais pun sana sini juga. Letih bang. Letih!
Taat Setia! Satu sumpah dan ikrar dengan yang suara yg tinggi penuh semangat. Udahnya? Apa pun tarak.... Tguk kawan2 yg bukan infantri hidup serba selesa. Pejabat pun berhawa dingin. Tau tau dah Band 5.
Satu perkara pasal tamat perkhidmatan! PENTING! amat penting. kita infantri atau semua askar, "tidak bersara". ingat betul2.... tidak bersara! Tamat ja khidmat, kita kena kerja! Kerja dgn orang atau kerja sendiri. Jadi.... bila nya kita bersara?
Sebenarnya... kita sedang berpindah dari fasa 1 (askar) ke fasa 2 (baru nak jadi awam). Sbb apa? Sbb dlm jiwa kita, masih lg ada jiwa askar. sombong sana sini. kita bukan sombong, tapi kita rasa kita hebat. lebih pandai lebih bijak. terlopong lopong sana sini. pergi klinik kjaan pun mcm jakun. minta maaf... itu diri saya. bukan tuan2.
khidmat 21 thn, nak jd awam mungkin 35 ke 45 tahun. Dan.... kehidupan sebenar kita ialah di fasa 2. Ini kita tidak boleh elak kecuali ajal. Cabaran sebenar adalah di sini. jatuh sakit, anak nak masuk universiti, nak cari kerja, nak kawin, kereta rosak, atap bocor, tv rosak..... mcm-mcm lagi cabaran.
Oleh itu? Buat lah persiapan untuk masuk ke fasa 2 dgn bersungguh-sungguh. Ini bukan bab mati di mana kita tidak tahu tarikh dan masanya. Masalahnya, semua askar tahu tarikh TTP. Tp tetap dgn ayat...'ulat dlm batu pun boleh idup'.
tu baru muqadimah...
Hari ini 3 puasa, 21 Feb 2026. Jam 0800, Sedang memandu dari arah Bercham ke Tg Rambutan (nak ke pasar), nampak iklan jualan rumah teres 1 tkt di Bandar Baru Putra... spek 20 X 70 kaki, harga 308,000 Ringgit!
Wahai sahabat2 yg sedang berkhidmat, ingat lah baik-baik, cari lah tanah di kg, kecil pun tidak mengapa, guna pinjaman kerajaan. buat lah rumah di situ. Guna pinjaman kjaan. kita boleh buat pinjaman untuk beli tanah dgn tujuan untuk buat rumah, kemudian boleh pinjam lagi untuk buat rumah. lagi penting.... bila tamat perkhidmatan nanti, hutang pun tak banyak, dan sebelum umur 50 dah langsai.
Mengapa fokus kpd Infantri? Sebab anggota Infantri [majoriti] hanya ada skill berperang dan skill ini tidak diperlukan oleh badan-badan awam kecuali sedikit. Tuan kan bersara sekitar umur 45 tahun dan perlu kerja untuk teruskan kehidupan! Tak kira kerja dengan orang atau kerja sendiri. Ternak ayam, tanam ubi kayu pun kira kerja juga.
Izinkan saya berkongsi sedikit pengalaman dan pemerhatian. Bukan kerana saya sangat berjaya, tetapi kerana saya sudah melalui jalan ini lebih awal daripada tuan-puan.
Saya berkongsi atas tiga sebab yang jujur. Pertama, kerana saya sendiri seorang veteran yang tidak terus berjaya selepas bersara. Kedua, kerana saya mahu berkongsi apa yang saya lihat dan alami sepanjang hidup sebagai veteran. Ketiga, kerana saya yakin beberapa perkara kecil yang betul/sesuai boleh membawa kepada kehidupan yang jauh lebih berkualiti.
Untuk elak orang kata ini “sembang kari”, biar saya ceritakan sedikit latar belakang. Saya mengangkat sumpah pada 10 Januari 1977 dan bersara pada pertengahan tahun 2001. Tiga bulan sebelum bersara, berbekalkan Ijazah Sarjana, saya sudah mula bekerja sebagai seorang Pengurus di sebuah bank.
Hari ini, Januari 2026 — lebih 25 tahun selepas bersara — semua hutang saya sudah lama langsai. Setiap sen pencen yang masuk adalah bersih. Allah kurniakan juga kesihatan yang baik.
Saya punya sebuah rumah di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, dan sebuah lagi di Ipoh, tempat saya tinggal sekarang. Anak2 semuanya sudah berumah tangga.
Ini bukan untuk bermegah. Ini sekadar bukti bahawa perancangan kecil yang konsisten boleh membawa ketenangan besar di hari tua.
Kenapa saya tidak mahu guna istilah “Persiapan Persaraan”? Saya sedar satu perkara. Mengingatkan anggota tentera tentang persiapan bersara jarang berkesan. Dulu masa dlm askar... saya pun bebal mcm tu juga. Apa barang mau cerita pasal bersara!
Jawapan yang biasa kita dengar:
“Lambat lagi bang.” “Baru masuk askar.”
“Baru lima tahun servis.” “Sepuluh tahun lagi baru pencen.”
Dan itu jawapan yang manusiawi. Sebab itu, mari kita ketepikan istilah persiapan persaraan. Kita tukar kepada persiapan mencapai hidup veteran yg berkualiti.
Dan persiapan ini tidak perlukan modal besar, tidak perlukan sijil tinggi. Ia hanya perlukan perubahan perangai dan sikap. Tiada paksaan.
Kesedaran Penting: Kenapa Anggota Infantri Perlu Cari Pendapatan Sampingan Awal
Bukan sebab pencen kecil. Bukan sebab takut miskin. Bukan sebab nak kaya raya. Tetapi kerana beberapa perkara asas ini:
1. Disiplin kewangan terbina lebih awal. Orang yang ada pendapatan sampingan biasanya lebih berjimat, lebih berhati-hati berbelanja, dan lebih faham nilai wang. Yg lain tu, belum dua minggu lepas gaji dah berbaris di cook house. Tu pun kira lama dah!
2. Keyakinan diri meningkat. Bila seseorang tahu dia boleh cari duit sendiri, dia tidak terlalu takut dengan masa depan. Prinsip dia... "Kita yang kawal hidup — bukan hidup yang kawal kita". Kot mana pun kita faham, semua itu adalah tadbir Allah SWT.
3. Realiti kemahiran infantri. Infantri jarang ada kemahiran teknikal formal seperti mekanik, juruteknik, IT atau perubatan [Kor dan Rejimen lain]. Ada tu, nak guna komputer pun kelabu gaban. Sebab itu, selepas bersara, pilihan kerja kita sering terhad kepada sekuriti, pemandu atau pekerja am. Yg lain mula terjerumus dgn menjual anak pokok, pakaian kanak-kanak atau goreng pisang. Info! Anngota TLDM, semua mcm wajib ada komputer. Pengalaman bercampur dengan mereka rasa kagum. Anggota yg jaga di gate, depa sebut poltera kalau tak silap saya, semua pun ada lap top. Kalau kita mungkin anggota RP atau MP.
4. Kemahiran sebenar lahir daripada perangai atau sikap sendiri. Gunting rambut kawan, jual kuih, jual satey, baiki motor, ternak ayam, tanam ubi — semua ini bukan tentang duit semata-mata, tetapi tentang mentaliti berdikari atau minat semula jadi. Tidak pun sebab bini suruh! ampun.....
5. Tanggungan keluarga. Hari pertama bersara, anak masih bersekolah. Kos pendidikan makin mahal. Tiada lagi feri sekolah yg murah tu. Pencen pulak hanya separuh daripada gaji.
Saya harap sedikit pencerahan ini menimbulkan kesedaran yg sepatutnya membawa kepada satu tindakan: ubah sikap, dan bukan sekadar faham sahaja.
Ingatan kasar! ATM bukan ditubuhkan untuk menjaga masa depan kita. Kita yang patut jaga. Setengah Veteran dulu boleh hidup senang — kenapa kita tidak?
Kahwin Awal / Muda: Logik dan bermanfaat dzahir dan batin. Sensitif tapi jujur.
Kahwin muda bukan kerana nafsu. Ia tentang struktur hidup.
-
Hidup lebih stabil lebih awal
-
Ada pasangan → ada disiplin → ada arah
-
Anak membesar ketika kita masih kuat
-
Tekanan kewangan lebih terkawal jika hidup sederhana dari awal
Awal lagi sudah merancang nak menetap di mana termasuk nak beli rumah.
Bayangkan kpd yg lambat kawin, mula pencen, anak baru umur lima tahun. Itu realiti yg ramai veteran hadapi.
Kumpul Harta Awal: Bukan Tamak, Tetapi Realistik
Anggota ATM bekerja sekitar 21 tahun, bersara umur 40–45.
Orang awam bekerja hampir 40 tahun, bersara umur 60.
Itu beza besar. Anak mereka masuk universiti dan kawin sementara mereka masih bekerja. Bila dah senior - bos pun malas nak kacau depa. Perut semua pun boroi.
Askar.... tuan puan ada 21 tahun sahaja untuk buat segala persiapan! awam ada 40 tahun. Cuba bayangkan. Tuan Puan patut sasarkan perkara berikut. Bukan paksa.
Bukan untuk jadi kaya. Tetapi untuk hidup bermaruah.
Hidup Tanpa Hutang: Satu Kebebasan
Cuba kira secara jujur:
-
Pencen: RM3,500
-
Hutang rumah: RM750
-
Hutang kereta: RM450
-
Bil & dapur: RM700
Baki: RM1,600, Belum masuk minyak, sekolah anak, sakit demam.
Jika tiada hutang, pencen itu bersih. Kerja pengawal keselamatan pun sudah cukup. Hutang bukan jahat. Tetapi hutang yang panjang sampai ke pencen — itu perangkap.
Jadi? Berlakun lah cara hidup sederhana. Pakaian, kenderaan, perabut, hiasan, langsir bagai. Gitu-gitu udah lah. Manfaatnya.... sekejap ja hutang dah langsai.
Kemahiran Sebagai Punca Perolehan Pendapatan Sampingan
“Saya Tak Ada Kemahiran, Bang” — Sebenarnya Tidak Benar. Semua orang ada kemahiran. Cuma belum diasah. Pernah gunting rambut kawan? Pergi kedai gunting. Cakap jujur: “Saya nak belajar.” Pernah jual kuih atau satey? Belajar di warung. Faham kos, untung dan layanan pelanggan.
Sorang kawan saya, kami panggil dia "Mat Cekup". Jumpa jerangkap samar semasa operasi... dia cekup guna jungle-hat. Masa tu kami mmg gila. Mat Cekup ni, masa kami mula bertukar ke Tawau, baru sebulan dia sudah beli bot siap dgn enjin bot. Malam ja dia pergi memancing. Masa tu di Tawau, sungai kecik pun penuh dgn udang galah [+ buaya]. Bila batalion kami kena balik ke Semenanjung, dia mohon tukar ke batalion yang akan bertugas di Tawau. Mau cari makan dia kata.
Saya yakin Tuan Puan pun ada banyak cerita atau pengalaman yg sama melihat bagaimana seseorang itu sentiasa bergerak atau berusaha mencari pendapatan sampingan.
Tips Membeli Kereta atau Moto
Soalan pertama/utama. Beli kereta untuk apa? 1.3 atau 2.0? Boleh naik 6 orang atau biasa 4 orang.
Baiklah. Baru ni ada kawan saya beli kereta Produa Kancil.... 600 rgt. Baiki itu ini termasuk cat 1500 rgt. Jadi kos sebenar 2,100 rgt. Katanya janji boleh jalan. Kenapa tuan nak beli kereta besar dan kereta baru?
Adat dan budaya beli kereta/moto. Punca: - gaji + elaun = besar (banyak). Maka kita pun mula nak enjoy. Apa cerita mau guna kancil buruk tu.... kannn kannn.
Tuan... perumpamaan dulu dulu... ular berbisa menjalar bawah akar, tidak hilang bisa nya. Lebih kurang, kita kaya mcm mana pun, kalau kita gitu gitu jer.... kita tetap kaya. Tak perlu lah nak tunjuk kasut jam baju jeans..... dan kereta/moto. Hidup lah sederhana sbb bila pencen nanti, tahu lah langit tu tinggi atau rendah.
Apa sebenar nya yg kita perlu? Apa pula beza perlu dengan hendak? Kita perlu kenderaan, perlu infaq kepada ibu-bapa setiap bulan, perlu rumah, perlu kawin (keluarga). Ini lah keperluan utama kita. Kalau sebut apa yg kita hendak. Saya tidak tahu.... tuan mungkin hendak moto 250 cc. Cuti di luar negara. Kereta Honda atau Toyota. Tak main la proton atau produa. kan gitu!
Saya ada sebuah motosikal kapcai Honda 70cc yg berumur lebih 35 tahun, toyota unser yang berumur 26 tahun, kancil berumur 35 tahun. Rumah dua ketul... satu di Setiawangsa KL, satu di Ipoh. Hutang tiada. Anak2 semua dah kawin.
Penutup Jujur
Apa yang saya kongsi ini bukan tentang persaraan. Ini tentang cara hidup yang waras.
Cari pendapatan sampingan — bukan sebab miskin.
Kahwin muda — bukan sebab nafsu.
Kumpul harta — bukan sebab tamak.
Hidup tanpa hutang — bukan sebab takut.
Tetapi kerana lelaki yang bijak tidak menyerahkan masa depannya kepada nasib. Saya bukan orang berjaya besar. Tetapi Allah izinkan umur panjang, dan sehat walfiat serta sumber untuk berkongsi dgn Tuan dan Puan.
Hidup tanpa hutang,
ada kemahiran,
ada harta minimum,
ada pasangan yang stabil —
itu sudah satu kekayaan.
Untuk anggota infantri: kita mungkin bukan paling berpelajaran, tetapi kita paling tahan susah. Gunakan kelebihan itu. Jangan tunggu pencen baru belajar hidup.
28 Januari 2026
Jika tulisan ini bermanfaat, kongsikan. Jika tidak, silakan beri cadangan — kita belajar bersama.
Klik untuk FOLLOW penulisan saya sebab ada banyak lagi yg saya ingin kongsi.