PERSIAPAN SEBENAR SEBELUM BERSARA
Sampai tarikh TTP, tuan dan puan sudah bersedia untuk bersara. Tiada lagi hutang dengan Pejabat Q, semua barang sudah diserah, Rumah Keluarga pun sudah dikosongkan. Anak-anak sudah tukar sekolah. Tuan pun baru tiba di rumah sendiri di kampung.
Namun, hakikatnya persiapan persaraan tidak sepatutnya bermula hari ini, tetapi sejak hari pertama tuan menjejakkan kaki ke dalam tentera.
1. Mengapa Persediaan Perlu Bermula Awal
Ini bukan saya yang kata, tetapi nasihat yang diambil daripada panduan persaraan tentera British. Mereka mula merancang dari hari pertama kerana mereka tahu — kerjaya tentera hanya 21 tahun, sedangkan orang awam bekerja hingga 40 tahun.
Mereka yang kerja di Pejabat Tanah mungkin dapat tanah. Yang kerja di pejabat penternakan, sempat hadir kursus ayam dan kambing. Sebelum bersara, mereka sudah mula berniaga. Itulah makna sebenar “persiapan persaraan”.
2. Asas Perancangan Menjadi Veteran Cemerlang
Ingat, askar wajib bersara selepas 21 tahun perkhidmatan, iaitu sekitar umur 39 hingga 45 tahun. Pada umur ini, siapa nak ambil kerja lagi?
Degil katanya. Berlagak. Tiada kemahiran dan pengalaman industri. Tapi masih nak gaji besar.
Jadi, tanya diri sendiri — apa yang saya perlu sekarang, bukan apa yang saya mahu.
Ramai muda-mudi kejar kemewahan — motor besar, telefon canggih, melancong, berbelanja tanpa arah. Tapi keperluan sebenar ialah ilmu, kemahiran, dan kestabilan hidup.
3. Sikap Menentukan Nasib
Kalau kita tak ubah sikap, tidak fikir masa depan, maka jangan hairan jika selepas pencen nanti, kita terpaksa jadi pengawal keselamatan semata-mata.
Askar ada disiplin, tetapi jika tiada perancangan, kita tetap akan kalah dalam kehidupan awam.
4. Beli Tanah Awal – Pelaburan Paling Bijak
Saya beli lot tapak rumah pada tahun 1988 melalui pinjaman kerajaan, harga RM22,000, keluasan 60x90 kaki. Tahun 2025, nilainya sudah RM750,000.
Itulah sebabnya beli tanah dulu, jangan sibuk beli motor atau kereta.
Dan beli di tempat tuan mahu menetap selepas bersara. Jangan ulang kesilapan — kerja di Senawang, tapi beli rumah di sana, sedangkan kampung di Taiping. Akhirnya menyesal dua-dua.
5. Mengapa Patut Balik Kampung
Hidup di kampung memang susah, tapi sangat berbaloi.
Saya tanam serai, kunyit, pandan, lengkuas, betik, pisang, durian, nenas, ubi kayu, dan limau. Saya ternak ayam kampung untuk makan sendiri, dan kalau ada lebih, saya jual atau sedekah ke tabung masjid.
Rezeki sedikit tapi berkat. Itulah nikmat sebenar selepas bersara.
6. Elak Kesilapan Pinjaman
Jangan tunggu pangkat naik baru nak beli rumah atau tanah. Ingat, pinjaman kerajaan tempoh maksimumnya 30 tahun.
Kalau baru beli rumah selepas 10 tahun berkhidmat, maknanya 20 tahun selepas pencen baru habis bayar hutang. Sedangkan 20 tahun pertama selepas pencen itulah masa kita paling perlukan duit – anak nak masuk universiti, kesihatan mula merosot, dan tanggungan makin banyak.
7. Cita-cita Selepas Bersara
Saya dulu pasang niat — lepas pencen, pendapatan saya mesti dua kali ganda daripada gaji semasa berkhidmat. Kalau gaji saya RM3,000, saya mesti dapat RM6,000 selepas bersara.
Itu cita-cita yang beri arah.
Tapi persoalannya, apa kemahiran tuan yang orang awam perlukan?
Ada sijil? Ada pengalaman industri?
Kalau tiada, jangan harap mereka bayar gaji tinggi.
Oleh itu, tambah kemahiran dan pengalaman sebelum masa berlalu.
8. Rancang Rumah dan Keluarga
Saya beli tanah dulu, baru bina rumah guna pinjaman kerajaan. Bila bertugas jauh, saya pindahkan keluarga ke rumah sendiri. Bila bersara, kami sudah menetap — tak perlu lagi pindah randah.
Inilah strategi senyap tapi bijak.
9. Kahwin Awal – Bina Rasa Tanggungjawab
Kahwin muda bukan soal nafsu, tapi soal tanggungjawab.
Bila dah beristeri, kita rasa perlu ada rumah, ada anak, ada simpanan. Bila kawin cepat, anak cepat besar, tanggungjawab cepat matang.
Berbeza dengan yang kekal bujang – hidup tak tentu arah, mudah terjerumus dalam hiburan dan keseronokan sementara.
10. Hidup Sederhana Tapi Cukup
Jangan kejar gaya hidup mewah.
Cukuplah dengan kereta sederhana, rumah sendiri, dan sedikit simpanan. Kalau pandai masak, mahirkan lagi. Gunakan cuti untuk berniaga kecil-kecilan.
Modal goreng pisang RM250 pun cukup – untung RM20 sehari, sebulan RM600. Dalam dua minggu dah balik modal.
Kalau rajin, itulah langkah pertama ke arah berdikari.
Kesimpulan
Persediaan bersara bukan tentang tarikh TTP, tetapi tentang cara berfikir + sikap positif sejak mula berkhidmat.
Mulakan dengan membeli tanah, mendidik keluarga, menambah kemahiran, dan hidup sederhana.
Jangan tunggu esok untuk berubah, sebab masa depan veteran bukan dibina selepas pencen — ia bermula hari pertama tuan angkat sumpah dan pakai uniform tentera. Tiada siapa yang akan berusaha untuk tuan, kecuali diri tuan sendiri. Pilihan dan keputusan atas diri tuan.